Text Box: Sejarah perlu di bongkar semula

ASHA’IRAH

Pendedahan Aliran Wahabiyyah menurut perspektif para ulama’ ahli sunnah wal jamaah (Asha’irah)

Akhir-akhir ini saya cuba curi-curi masa untuk baca mengenai segala apa yang berlaku sezaman dengan hayat Shaikh Muhammad Abul Wahhab (1115H-1206H/1703-1792 M).

 

Nampaknya kita perlu bongkar semula bahan-bahan sejarah dalam bahasa asal (Arab, Turki, Urdu, Farsi, Melayu-Pattani atau Jawa) dan cuba dapatkan secara lisan dan direkodkan secara penuh tanggungjab daripada tok-tok guruyang mempunyai pertalian/sanad deangan para guru di Makkah/Jazirah Arab/Mesir mengenai apa yang sebenar berlaku vis-a-vis dakwaan bahawa kaum Muslimin yang hidup di kurun 18 Masehi telah benar-benar menyembah kubur dan telah mengamalkan shirik secara berleluasa seperti dakwaan yang boleh di dapati di dalam semua buku-buku yang memuji-muji Muhammad Abdul Wahhab.

 

Sebabnya ialah, jika isu tersebut tidak ditangani dan diterjemahkan semula, ibnu Abdul Wahhab akan terus dimuliakan dan dia akan langsung dipuji sebagai seorang mujaddid kurun ke 12 Hijrah. Natijahnya kita akhirnya akan menyia-nyiakan perjuangan dan sumbangan Abdul Rauf Fansuri (w. 1105 H) dan Shaikh Yusuf Tajul Khlawati (w. 1111 H) yang wafat beberapa tahun sebelum ibnu Abdul Wahhab disamping nama-nama besar seperti Sultan Aurangzeb Alamgiri (perintah 1068-1118 H), Mulla 'Ali Al-Qari (w.1122 H), Habib Abdullah Al-Haddad (w. 1132 H), Ahmad As-Sirhindi (997-1034 H), Abdul Ghani An-Nablusi (w. 1143H), Tok Pulau Manis (w. 1149H) dan Shah Waliullah Dehlawi (1114-1176H) daripada segelintir contoh tokoh-tokoh besar umat Islam yang hidup sezaman dengan Ibnu Abdul Wahhab.

 

Memang ada para dai yang membawa masuk idea Muhammad Abdul Wahab ke benua kecil India pada kurun ke 19 Masehi seperti Shah Ismail Shahid (lahir 1201) walau pun Shah Ismail lebih popular di dalam medan jihadnya menentang kuffar Sikh pada masa itu kerana dia sendiri gugur shahid. India memang tempat budaya Hindu/Sikh yang dominan sehingga kini dan pembaca-pembaca boleh menggambarkan masyarakat India pada zaman kelemahan Dinasti Moghul bila membaca buku Taqwiyatul Iman karangan Ismail Shahid yang memuatkan ulasan engenai Shirik dan Bid'ah yang mungkin sebagai jawapannya untuk amalan umat India pada masa itu.

 

Malangnya buku Taqwiyatul Iman merupakan antara 6 buku yang diterjemah Di dalam pelbagai bahasa dan disebar secara meluasa oleh Salafi-Wahabi hari ini sedangkan kita sedang menghadapi isu globalisasi dan seribu satu masalah berkaitan dengannya dan bukan isu bid'ah dan intrepetasinya berdasarkan fahaman Salafi-Wahhabiyah yang sempit. Kandungan intrepetasi Wahhabiyaah seperti ini juga terdapat di dalam penulisan Dr Abdullah Yasin di dalam Seminar Islam Sebagai Cara Hidup di DBP hujung minggu kelmarin yang memaksa saya membuat kritikan terbuka kepada penganjur yang membiarkan Abdullah Yasin berbicara mengenai persoalan aqidah yang tidak sehaluan dengan interpretasi majoriti umat Islam di Malaysia.

 

Berbalik kepada persoalan sejarah: Memang Allah taqdirkan bahawa kurun ibnu Abdul Wahhab itu hidup sebagai kurun yang penuh cabaran: Revolusi Amerika (1776), Revolusi Perancis (1789), Revolusi Perindustrian (1760-1820), 7 Years War (Britain vs France)- 1756-1763. Dan yang terlebih utama untuk di semak semula dan dikaji untuk diambil iktibar oleh kita ialah senario Usmanli Devlet yang menghadapi kelemahan di samping kemunculan Sultan-Sultan Melayu Islam di Nusantara dan detik-detik penjajahahan dan peperangan umat Melayu Islam dengan Siam, Inggeris, Belanda dan Sepanyol.

 

"One who has no history has no future"


Perlu dicatit bahawa da'wah Muhammad ibn Abdul Wahhab boleh dikira bermula pada tahun 1157H/1744M, iaitu pada masa Muhammad bin Sa'ud memeterai perjanjian dengan ibnu 'Abdul Wahhab untuk merialisasikan cita-cita merek; ibnu Sa'ud dengan agenda politiknya manakala ibnu Abdul Wahhab dengan idea tabdi'nya. Menurut catatan Syeikh Muhammad bin 'Abdullah al-Najdi (w. 1295) di dalam
Suhub al Wabilah 'ala Doraih al-Hanabilah, ibnu 'Abdul Wahhab hanya menzahirkan ideanya setelah ayahnya yang merupakan seorang 'alim Mazhab Hanbali wafat.

 

Justeru itu, saya merasakan perlunya kita mengkaji dengan lebih terperinci dan kemudian mewarwarkan (menerbitkan dan menterjemahkan secara aktif penulisan-penulisan mereka atau penulisan mengenai mereka, mengadakan diskusi 'ilmiyah seperti wacana ilmu dan seminar) sumbangan para 'ulama yang aktif berkecimpung di dalam medan ilmu dan da'wah semenjak zaman separuh kedua kurun ke 11 Hijrah

.
Selain daripada beberapa nama yang dicatitkan sebelum ini, nama-nama lain yang saya dapat catitkan untuk kajian terperinci para pengkaji yang mulia ialah:Syeikh Faraj Syah ibn Muhammad Sa'id al-Sahrandi (1038-1122), Syeikh 'Abdullah Ibn Jaafar Ibn 'Alawi (w. 1160), Syeikh Muhammad Al-'Abdali (1160), Syeikh Mustafa Al-Bakri (1099-1162), Syeikh Muhammad al-Hifni (1101-1167), al-Syeikh al-Madabighi (w. 1170), Syeikh 'Abdullah bin Muhammad Al-Syabrawi (1092-1171), Syeikh al-Sayyid Muhammad Al-Balidi (1096-1176) yang merupakan tokoh Mazhab Malik dan al-'Asya'irah, Abu' Ma'ali Zainuddin  Hasan bin 'Ali Ibn Mansur (1142-1176), Syeikh 'Isa ibn Ahmad ibn 'Isa Al-Barrawi (w. 1178), Mawlana Rasm 'Ali al-Tanukhi (w. 1178), Al-Syeikh Al-Jawhari Al-Khalidi (w. 1182), Sayyid Ali ibnu Muhammad Al-Muradi (1132-1184), Syeikh Muhammad Al-Safarini (w. 1188), Makki Al-Koji (w. 1192), al-Syeikh Al-Damanhuri, Ahmad ibn Abdul Mun'im ibn Yusuf ibn Siyam (1101-1192), 'Abdul Rahman Al-'Alawi Al-Husayni Al-Idrisi Al-Syimi (1135-1192),  Wajihuddin 'Umar Ibn Abdul Jalil Al-Baghdadi (1100-1194), Syeikh Muhammad ibn Mustafa ibn Kamaluddin Al-Bakri (1143-1196), Syeikh Muhammad Al-Munayyar Al-Khalwati (1099-1199) yang merupakan Masyakhat al-Azhar bermazhab Syafi'i yang pertama, Syeikh Ghulam 'Ali Azad Al-Baljarami (1110-1200), Syeikhul Islam Al-Syeikh al-Dardir al-'Adawi (1127-1201) dan Mufti Sayyid 'Abdul Rahman ibn Sulayman al-Ahdal (1179-1255), rahimahumulLah.

 

Dan kita sekali-kali tidak akan mengabaikan Syeikh Muhammad Ibn Sulaiman Al-Kurdi yang merupakan salah seorang guru kepada ibn 'Abdul Wahhab yang dicatatkan sebagai pernah berfirasat bahawa ibn 'Abdul Wahhab akan menjadi seorang yang "bermasalah dan penyebab masalah (these words are mine in my attempt to interpret the original lengthy comments of the noble scholars)", Syeikh al-Sayyid Muhammad Murtada Al-Zabidi Al-Husayni (1145-1205), Syeikh Abdullah al-Syarqawi (1150-1227), muridnya Syeikh Muhammad bin 'Ali Al-Syanwani dan tiga bintang daripada tokoh 'Ulama Nusantara iaitu Syeikh 'Abdul Samad Al-Palembangi (1116-1190?), Syeikh Muhammad Arsyad Al-Banjari (1122-1227) dan Syeikh Daud bin Abdullah Al-Fatthani (1183-1265) rahimahumulLah.

 

Kita perlu memperkenalkan, menghidupkan dan mengetengahkan ajaran-ajaran para 'ulama tersebut yang diwarisi oleh para ulama tradisi hari ini yang tidak begitu masyhur kerana mereka bersifat tawadhu', tidak teringin untuk menjadi popular dan tidak pernah menyeret umat untuk menjadi mujtahid gadongan, tidak menyibukkan umat dengan aktiviti tabdi' dan tidak pernah memeningkan umat Islam 'awam untuk berbicara secara melampaui batas mengenai Dzat Allah yang Maha Suci sehingga tahap hampir-hampir melakukan tajsim dan tasybih, Na'udzubillaah.

 

Mudah-mudahan Allah memberi kita rezeqi untuk menuruti jejak langkah mereka dan menghimpunkan kita di Hari Qiyamat nanti bersama-sama para 'ulama mu'tabar tersebut ...